Malaysia tidak terburu-buru membuat tanggapan dan sentiasa menyambut baik perundingan dan kerjasama dalam usaha memperkasakan ekonomi negara, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Beliau yang juga Profesor Adjung College of Business, Universiti Utara Malaysia (UUM COB) menegaskan rakyat Malaysia seharusnya memahami terlebih dahulu apa yang terkandung dalam Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) dengan mendalam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Kerajaan sentiasa peka dan sedia membantu rakyat untuk meningkatkan daya saing serta meningkatkan penguasaan pasaran asalkan mereka sanggup berubah dan bersedia menerima FTA jika tidak mahu ketinggalan dalam pasaran.

“Ini tidak bermakna mereka mudah memasuki pasaran kerana kita mempunyai dasar dan polisi untuk melindungi barangan dan menjaga perkara sensitif yang tidak boleh dikompromi. Ada perkara yang boleh disentuh dan ada perkara yang kita perlu jaga untuk menjamin kepentingan nasional,” katanya dalam satu program Business Talk anjuran UUM COB di Dewan Angsana, EDC-UUM, semalam. Tambahnya, Malaysia adalah satu pasaran yang berpotensi besar yang sentiasa menarik pelabur asing untuk melabur memandangkan persekitaran politik yang kondusif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Dalam dunia tanpa sempadan, kita tidak boleh menghalang kemasukan pelabur dari luar kerana kepesatan ekonomi negara juga bergantung kepada naik turun pasaran dunia. “Saya percaya apabila memasuki FTA kita dapat memasarkan produk dan perkhidmatan ke seluruh dunia untuk menjana pendapatan negara dan perlu fokus pada pasaran bukannya melihat dari sudut politik semata-mata,” ujarnya kepada mahasiswa dan staf UUM.

Rafidah berkata, China menjadi rakan dagangan kedua terbesar Malaysia. Ia memiliki penduduk paling ramai dan merupakan kuasa gergasi dunia yang dilihat berpotensi untuk muncul sebagai kuasa ekonomi dunia. Ujarnya, dengan adanya jalinan kerjasama yang erat dengan kuasa besar ini akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak dalam usaha membangunkan negara.Tambahnya, negara maju seperti Amerika Syarikat, New Zealand dan Kesatuan Eropah sentiasa mengintai peluang untuk mengambil kesempatan terhadap negara sedang membangun yang memerlukan kita lebih berhati-hati dalam apa jua tindakan dan keputusan.

Dalam ceramah bertajuk FTA: Prospects and Implications for Malaysia, beliau menambah, pasaran yang dikuasai negara maju lebih sukar untuk ditembusi kerana mereka mengambil berat akan isu-isu seperti pemanasan global, sumber lestari dan hak asasi manusia. Rafidah turut mengulas mengenai Zon Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dengan menyifatkan sekiranya mereka bijak menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkesan, AFTA adalah pasaran serantau yang bakal muncul dengan potensi besar bagi pengeksport Malaysia. Beliau mengingatkan para pengeksport Malaysia agar sentiasa berada pada kedudukan setanding dengan pesaing mereka untuk menembusi pasaran baru itu. “Pasaran serantau ini juga telah membantu Malaysia untuk mengurangkan kesan buruk dari impak kegawatan ekonomi antarabangsa sekarang ini. Negara telah berjaya mengembangkan dengan jayanya penguasaan mereka dalam AFTA walaupun halangan bukan tarif masih wujud,” ulasnya. Jelasnya, peniaga dan pengeksport Malaysia masih ketinggalan dari segi penguasaan pasaran dalam rantau ini dan usaha ke arah itu sedang giat dijalankan untuk memastikan kestabilan dan kepesatan pasaran.

Menurutnya, bebas cukai akan dinikmati di antara negara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang mempunyai pasaran besar mewakili bilangan penduduk yang tinggi dilihat mampu memberi persaingan yang sihat dalam kalangan negara ahli yang mana memerlukan strategi untuk memasuki pasaran, mencari peluang, membangunkan dan mengadakan promosi secara berkesan dan berterusan. “Bagi negara lain seperti Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar yang dilanda krisis politik yang tidak menentu, mereka memerlukan masa untuk membangun. Sebagai negara jiran kita perlu membantu mereka untuk melonjakkan pasaran,” ujarnya. Katanya, AFTA mempunyai dasar dan polisi yang telah ditetapkan untuk kemakmuran bersama di samping meningkatkan hubungan dan merintis kerjasama di antara negara ASEAN.

Sumber : PROUUM ONLINE

0 Responses to "Malaysia Perlu Bersedia Hadapi FTA - Yang Berhormat Tan Sri Rafidah Aziz"

Leave a Reply